Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, mahu kekal bersama kelab Serie A itu di sebalik tewas kepada Ajax dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Cabaran Juve mengejar gelaran Eropah terhenti semusim lagi selepas tewas 2-1 di laman sendiri kepada Ajax, awal pagi tadi.

Cristiano Ronaldo membuka jaringan buat Juve, namun Ajax bangkit menyamakan kedudukan menerusi Donny van de Beek, disusuli jaringan Matthijs de Ligt, yang memuktamadkan kemenangan 3-2 secara agregat.

Ketika Juve sudah bersedia menjulang gelaran Scudetto kelapan berturut-turut, gergasi Itali itu terpaksa meneruskan usaha bagi merangkul gelaran UCL yang kali terakhir dimenangi pada 1996.

Bagaimanapun, Allegri dijangka kekal di Turin selepas memberitahu Sky Sport Italia, "Saya telah bertemu presiden kelab beberapa hari lalu dan memberitahu saya mahu kekal bersama Juventus.

"Kami akan berbincang dengan kelab dan memikirkan tentang masa depan."

Presiden Juve, Andrea Agnelli, turut meletakkan keyakinan kepada Allegri, dengan berkata, "Kami telah memberitahu sejak musim panas lalu bahawa UCL adalah sasaran utama.

"Kami akan berbincang mengenai kontrak Allegri pada penghujung musim ini dan kami akan meletakkan keutamaan kepada masa depan yang lebih baik untuk kelab."

Pemenang Ballon d'Or lima kali, Ronaldo, yang turut menjaringkan gol ketika aksi pertama, membenarkan Juve mendahului permainan pada minit ke-28 dengan jaringannya yang ke-126 dalam saingan UCL.

Rekod Ronaldo melangkah mara ke separuh akhir sejak musim 2009-10 berakhir apabila Ajax melakar kejutan, sama seperti ketika mereka mengatasi juara bertahan, Real Madrid, dalam pusingan 16.

"Ronaldo telah memberikan yang terbaik untuk kempen ini, tetapi beraksi dalam suku akhir, setiap pemain perlu memainkan peranan.

"Saya sentiasa memberitahu jika mahu memenangi UCL, anda perlu mempamerkan persembahan terbaik sementara berada di tahap kecergasan yang memuaskan.

"Juve tanpa empat atau lima pemain utama. Daniele Rugani dan Leonardo Bonucci beraksi baik selama 50 minit tetapi kami gagal mengekalkan rentak permainan yang kemas, sekali gus memberikan kelebihan kepada Ajax."