Jurulatih Gremio, Renato Gaucho, masih percaya bahawa beliau adalah pemain yang lebih baik daripada bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Bekas pemain kebangsaan Brazil, Renato, telah membantu negaranya menjulang Copa America pada tahun 1989 di samping meluangkan hampir keseluruhan kariernya di Brazil.

Renato memenangi Copa Libertadores pada tahun 1983 bersama Gremio sebelum berhijrah ke Itali bersama Roma pada era 1980-an.

Pengendali berusia 55 tahun itu pada awal tahun ini menyatakan beliau adalah pemain yang jauh lebih baik daripada Ronaldo dan mengulanginya ketika membuat persiapan berdepan Real dalam aksi final Piala Dunia Kelab.

"Saya menetapkan pendirian saya. Ia adalah sebab untuk mengagumi Ronaldo. Dia seorang juara sejati. Salah seorang pemain terbaik dunia dengan kualiti-kualiti yang hebat," kata Renato.

"Setiap tahun, dia akan berusaha memecahkan rekodnya. Saya sangat mengagumi pemain seperti ini.

"Tetapi ia sangat mudah kepada mereka yang tidak menyaksikan saya beraksi dan hanya memuji Ronaldo.

"Untuk mengetahui siapa bermain dengan lebih baik, anda perlu bercakap dengan orang yang melihat saya beraksi," hujahnya.