Inter tidak perlu memancing Zlatan Ibrahimovic untuk mencabar Liga Juara-Juara (UCL) dan menutup jurang dengan Juventus dalam Serie A, kata Antonio Conte.

Setelah tidak kalah dalam tujuh perlawanan pembukaan kempen di bawah bimbingan Conte, Nerazzurri akhirnya tumbang dalam dua perlawanan terakhir mereka -- menentang Barcelona dalam Liga Juara-Juara (UCL) sebelum tunduk 1-2 kepada Juve sebelum rehat antarabangsa.

Mereka kini tempang berikutan kecederaan yang melanda Stefano Sensi dan Alexis Sanchez apabila berdepan Sassuolo, petang ini.

Bekas penyerang Inter, Ibrahimovic -- yang kontraknya dengan LA Galaxy akan berakhir Disember depan -- membuka pintu untuk kembali ke Serie A, namun bekas pengurus Chelsea itu percaya pasukannya tidak memerlukan pemain berkualiti seperti penggempur Sweden itu untuk meneruskan perjuangan.

"Saya tidak bercakap tentang pemain yang bukan milik saya, ia seperti satu tindakan yang tidak sopan," katanya dalam sidang akhbar ketika ditanya sama ada Inter mungkin berusaha mendapatkan khidmat penyerang dari Sweden itu.

"Tentu sahaja saya menghormati Ibra . Dia merupakan pemain yang berkualiti. Dia telah melakar sejarah tersendiri dalam bidang ini.

"Saya amat menghormati dan memandang tinggi kepadanya tetapi saya tidak berhak bercakap mengenai soal orang lain.

"Malah, saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap pemain sendiri dan saya sangat menghormati skuad yang ada. Kami akan menjadi lebih baik lagi dan terus bertambah baik. Kekecewaan tewas kepada Barca dan Juve akan membuatkan kami kembali dengan lebih mantap.

"Kami perlu terus tekal dalam persembahan dan latihan, kami perlu membaiki prestasi pada setiap hari, inilah yang saya mahukan. Jika kami melakukannya, maka kami akan mengambil langkah ke hadapan.

"Ada perkara yang perlu ditingkatkan dalam setiap perlawanan. Kami sering menganalisis perkara baik dan buruk. Kami telah memperhalusi aspek yang perlu ditekankan. Saya tidak boleh mengharapkan keajaiban semata-mata."