Penyerang negara, Shahrel Fikri Md Fauzi, ternyata individu penting yang menjadi penggerak kepada kebangkitan skuad negara dalam memastikan tiga mata berharga dan menjadi skrip sama ketika pertemuan dengan Kemboja, sebelum ini.

Bagi pemain Nakhon Ratchasima dalam liga Satu Thailand itu, dia berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan dalam pertemuan berdepan Kemboja dan juga Laos setakat ini.

Sewaktu aksi berdepan Laos, kemasukan Shahrel tampak mengubah corak permainan skuad negara dalam babak kedua perlawanan dan pemain yang berasal dari Sitiawan itu turut terbabit dalam gerakan yang menghasilkan gol ketiga negara menerusi Norshahrul Idlan Talaha.

Shahrel mengakui pengendali negara, Tan Cheng Hoe, lebih arif dalam percaturan taktikal pasukan tetapi optimis dirinya kini sudah bersedia jika diberi kepercayaan selaku pemain utama.

"Saya cuma menjalankan tugas. Apa yang diminta jurulatih, saya cuba lakukan.

"Dalam usaha berada dalam kesebelasan utama, ia keputusan jurulatih dan saya berharap dapat menarik perhatian untuk aksi seterusnya," katanya.

Shahrel turut mengakui keserasian antara pemain senior dan muda dalam skuad kebangsaan kini di tahap terbaik dengan tonggak senior kerap memberi keyakinan kepada pemain muda.

"Dalam kem Malaysia, kami berlatih bersama-sama walaupun pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha Abdul Radzak merupakan nama senior. Mereka banyak memberikan tunjuk ajar.

"Mereka menegaskan bahawa pemain senior beraksi terlebih dahulu untuk menjalankan kerja dan pemain muda akan masuk untuk mengubah corak permainan."