Zlatan Ibrahimovic teruja dengan permulaan istimewa dalam saingan Liga Bolsepak Utama (MLS) selepas menjaringkan dua gol dalam penampilan sulung bersama LA Galaxy.

Ibrahimovic hadir sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol dalam tempoh 19 minit, termasuk satu jaringan jarak jauh, yang menyaksikan Galaxy bangkit selepas ketinggalan tiga gol untuk meraih kemenangan 4-3 ke atas Los Angeles (LA) FC 4-3, semalam.

Bekas penyerang Manchester United, Ibrahimovic, hanya tiba di California pada Khamis lalu tetapi pemain berusia 36 tahun itu segera memberikan impak di Stubhub Center dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

Magis Ibrahimovic tidak berakhir dengan jaringan tersebut, malah tandukannya pada minit ke-90 menyempurnakan kebangkitan Galaxy untuk meraih mata penuh.

"Jika anda menelitinya, setiap pasukan yang telah saya wakili, saya menjaringkan gol dalam aksi sulung. Saya meletakkan sasaran itu dalam perlawanan ini," katanya.

"Saya hanya menunggu saat untuk hadir ke dalam padang kerana ketika ketinggalan 3-0, semangat yang tinggi kerana anda memiliki satu perasaan mahu melakukan sesuatu untuk pasukan ketika dalam situasi yang sukar.

"Penyokong telah meminta sesuatu dan saya berikan mereka Zlatan.

"Secara jujurnya, saya seperti bermain 40 perlawanan dalam tempoh 20 minit ini. Saya masih lagi sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan masa.

"Saya akan terus cuba untuk membantu pasukan mencipta lebih banyak jaringan dalam perlawanan akan datang."