Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, sekali lagi memenuhi impian untuk menghadapi Manuel Neuer apabila bakal bertembung dengan Bayern Munich di Allianz Arena, awal pagi esok, sambil menegaskan dia masih belum dapat meletakkan dirinya setaraf dengan pemain Jerman tersebut.

Neuer boleh dikatakan sebagai penjaga gol paling menyerlah dalam tempoh sedekad yang lalu dengan memenangi enam gelaran Bundesliga berturut-turut bersama Bayern selain menjulang Liga Juara-Juara (UCL) 2013 dan setahun kemudian membantu Jerman merangkul Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, harapan Die Mannschaft untuk mengekalkan mahkota itu berakhir di peringkat kumpulan dalam temasya Russia 2018, dengan Neuer tidak berada di tahap terbaiknya ekoran mimpi buruk ditimpa kecederaan.

Status sebagai penjaga gol terbaik dunia sekali lagi menjadi rebutan, dengan pemain Brazil, Alisson, antara pemain yang disebut-sebut sebagai pilihan.

Bagaimanapun, bercakap dalam sidang berita sempena pertemuan kedua pusingan 16 UCL yang terikat 0-0, Alisson tidak percaya dia sudah setaraf lawan seposisinya itu.

"Saya tidak dapat membandingkan diri saya dengan Neuer, dia antara yang terbaik dalam 10 tahun yang lalu. Mungkin dia yang terbaik," kata Alisson.

"Dia memenangi segala-galanya sedangkan saya baru bermula. Dia adalah sumber rujukan saya, dia seorang yang hebat dan berpeluang untuk menentangnya adalah mimpi yang menjadi kenyataan.

"Saya tidak dapat membandingkan diri saya dengannya, saya tahu saya bekerja keras, saya adalah sebahagian daripada kelab gergasi yang menetapkan rancangan besar dan mempunyai matlamat tinggi.

"Saya perlu menggalas tanggungjawab ini, menjaga dan memberikan aksi 100 peratus di padang.

"Untuk menjadi yang terbaik di dunia memerlukan aksi seperti ini," tambahnya.

Dalam masa yang sama, Alisson akan berasa lebih selamat dengan kehadiran semula Virgil van Dijk yang selesai menjalani penggantungan untuk berada di depannya bagi mengekang Robert Lewandowski dan barisan penggempur Bayern yang lain.