Eden Hazard menegaskan dia masih belum memandang dirinya sebagai pemain bertaraf Galactico, namun penyerang kebangsaan Belgium itu berharap mampu menghasilkan aksi memukau di Real Madrid.

Selepas beberapa jendela perpindahan yang mengaitkan Los Blancos dengan Hazard, pemain berusia 28 tahun itu akhirnya memeterai kontrak lima tahun bersama juara Eropah berkenaan minggu lalu.

Madrid merombak pasukannya selepas menamatkan musim 2018-19 yang mengecewakan dan Hazard merupakan pemain dengan reputasi terbesar yang tiba di Santiago Bernabeu setakat ini.

Kelab berkenaan mempunyai sejarah kemasukan pemain terbaik dunia seperti Luis Figo, Ronaldo, David Beckham dan ketua jurulatih terkini, Zinedine Zidane, dalam era Galactico pada awal 2000.

Bagaimanapun, Hazard enggan meletakkan dirinya setaraf dengan barisan legenda itu sewaktu sesi memperkenalkannya, awal pagi tadi.

"Saya bukan Galactico, mungkin suatu hari nanti saya mahu diiktiraf sebagai Galactico," katanya kepada wartawan.

"Saya Eden Hazard dan saya perlu bermula semula di sini.

"Ia merupakan permulaan baru dan saya berasakan saya pemain yang baik," katanya.

Sepanjang lima daripada enam tahun ini, pemenang Ballon d'Or merupakan pemain Real Madrid dengan Luca Modric meneruskan kejayaan Cristiano Ronaldo -- kini mewakili Juventus -- untuk memenanginya tahun lalu.

Hazard menamatkan undian pemilihan di tangga kelapan tahun lalu dan ramai percaya dia akan menguatkan reputasinya untuk memenangi anugerah individu tertinggi itu selepas berhijrah daripada Chelsea ke Madrid.

"Pemenang Ballon d'Or datangnya daripada Madrid. Adakah saya berasakan ia menjadi semakin mudah? Saya tidak tahu.

"Ia bergantung kepada bagaimana kita bermain.

"Benar, mereka telah memenanginya buat beberapa tahun, namun ia bukan sasaran saya untuk memenangi Ballon d'Or.

"Saya ke sini untuk membantu pasukan, rakan sepasukan saya dan mungkin satu hari nanti saya akan memenanginya, namun saya belum memikirkannya lagi.

"Apa yang paling penting ialah kelab ini memenangi kejuaraan," tambahnya.

Hazard menghabiskan tujuh musim di Chelsea, namun menegaskan zaman kegemilangannya baru sahaja mahu bermula.

"Saya tidak rasakan yang saya menyertai kelab ini pada penghujung karier.

"Saya hanya berusia 28 tahun.

"Di antara umur 27 dan 32 tahun, ia waktu terbaik buat pemain bola sepak.

"Saya tahu terdapat banyak spekulasi mengaitkan saya dan kelab ini selepas beberapa tahun lalu, namun saya menikmati waktu saya di Lille dan Chelsea dan sekarang saya menyertai kelab terbesar di dunia.

"Jadi, harap-harap saya akan terus berkembang sebagai pemain bola sepak," katanya lagi.