Cristiano Ronaldo berkata dia "bangga" dapat bermain untuk Zinedine Zidane selepas jurulatih Real Madrid itu mengumumkan pengundurannya.

Zidane meletakkan jawatan semalam, kurang daripada seminggu selepas Madrid menewaskan Liverpool 3-1 di Kiev untuk memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Ronaldo menjadi pemain utama Madrid di bawah bimbingan Zidane walaupun bintang Portugal itu mendakwa dia sedang mempertimbangkan tentang masa depannya.

Dan dalam media sosial, Ronaldo pantas memberi penghormatan untuk pemergian Zidane.

"Saya bangga menjadi pemain kamu," tulis Ronaldo di Instagram. "Tuan, terima kasih banyak."

Rakan sepasukan Madrid, Isco, juga menyampaikan penghargaannya dengan menulis di Instagram: "Adalah satu penghormatan dapat bekerja dengan kamu, dapat belajar daripada kamu setiap hari dan dapat memenangi bersama-sama.

"Kamu membuatkan pasukan berjaya, saya doakan untuk kejayaan kamu."

Pemain tengah kanan Madrid, Dani Carvajal, menambah: "Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih menjadi jurulatih kami untuk dua setengah tahun, kamu seorang yang luar biasa.

"Saya banyak belajar sebagai pemain dan orang daripada kamu, saya doakan kamu yang terbaik. Terima kasih Zidane."