Toni Kroos tidak percaya dia akan berdepan masalah mengekalkan tempatnya di Real Madrid walaupun jika Paul Pogba tiba di Santiago Bernabeu.

Walaupun dikaitkan dengan perpindahan keluar, Kroos semalam menandatangani kontrak lanjutan untuk dia kekal bersama Madrid sehingga 2023.

Selepas menamatkan saingan LaLiga ketinggalan 19 mata di belakang Barcelona dan gagal menjulang sebarang trofi selepas menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA, Disember lalu, pengendali Madrid, Zinedine Zidane, dijangka akan merombak pasukan.

Bintang tengah Manchester United, Pogba, menjadi sasaran jangka panjang buat Madrid dan tonggak Perancis itu tidak menyembunyikan hasratnya untuk bersama Los Blancos.

Madrid juga dijangka akan berusaha keras untuk mendapatkan Eden Hazard sambil kenyataan Kylian Mbappe bahawa dia mahukan lebih tanggungjawab sama ada bersama Paris Saint-Germain (PSG) atau di tempat lain telah menghangatkan perpindahan buat pemenang Piala Dunia itu.

Ditanya mengenai impak ketibaan Pogba terhadap tempatnya di bahagian tengah Madrid, Kroos memberitahu sidang media: "Ia tidak akan mengubah saya.

"Saya berjuang untuk tempat, bermain baik, jadi saya tidak rasa ada masalah untuk bermain.

"Saya tidak tahu siapa yang bakal pergi dan datang. Saya bercakap dengan pengurus dan tahu perancangannya. Saya akan menjadi pemain penting dan tidak boleh memberitahu perkara lain.

"Saya tidak tahu berapa jumlah perubahan yang akan berlaku. Saya tidak pernah meragui masa depan. Malah, saya mahu sentiasa berada di sini dan selalu bercakap tentangnya."

Mengenai spekulasi mengaitkan Mbappe, Kroos menambah: "Saya menyukai Mbappe sebagai seorang pemain tetapi persoalan itu bukan untuk saya. Saya tidak boleh membelinya. Saya memiliki kontrak yang bagus tetapi tidak boleh melakukannya. Ia persoalan untuk kelab."

Sebelum ini, Kroos menegaskan dia mahu menamatkan karier di Madrid dan hasrat itu tampak kekal menjadi cita-citanya sambil pemain tengah Jerman itu yakin dia masih mampu menampilkan aksi terbaik dalam tempoh baki kontrak.

"Beberapa kali, sebagai contoh selepas aksi bertemu Ajax, saya mengakui tidak berada di tahap terbaik dan saya tiada masalah untuk bercakap mengenainya," ujar Kroos.

"Saya mahu meningkatkan cara permainan tetapi sebelum ini, saya melalui tempoh empat tahun yang hebat. Tahun ini saya bermain agak buruk. Saya masih pemain sama, berusia 29 tahun dan masih mempunyai tiga atau empat tahun untuk berada di puncak permainan.

"Perancangannya adalah untuk menamatkan karier di sini dan pada usia 38 tahun, saya tidak fikir masih beraksi. Hasrat saya adalah untuk menamatkan kontrak di sini."