Pele melabelkan Lionel Messi sebagai pemain yang hanya mempunyai sebelah kaki serta satu teknik.

Legenda Brazil itu dinamakan oleh banyak pemerhati bola sepak sebagai pemain terhebat sepanjang zaman tetapi statusnya itu diancam susulan prestasi luar biasa Messi bersama Barcelona sejak lebih 10 tahun lalu.

Namun, Pele, yang menjulang trofi Piala Dunia tiga kali, tidak fikir Messi adalah pemain terbaik Argentina dalam sejarah apabila memberitahu Folha de Sao Paulo bahawa Diego Maradona lebih bagus.

"Bagaimana anda boleh lakukan perbandingan di antara pemain yang menanduk dengan baik, menendang dengan kaki kiri dan kanan berbanding pemain yang hanya melakukan tendangan menerusi sebelah kaki, mempunyai satu teknik serta tidak menanduk dengan bagus?" kata Pele membandingkan corak permainannya dengan pemenang lima kali Ballon d'Or itu.

"Anda mahu bandingkan? Untuk membandingkan dengan Pele, seseorang itu harus menyepak bola dengan baik menerusi kaki kiri dan kanan serta menyumbat gol hasil daripada tandukan.

"Daripada apa yang saya tahu, Maradona adalah salah seorang pemain terbaik dunia sepanjang zaman. Dia lebih bagus daripada Messi. Jauh bezanya.

"Franz Beckenbauer dan Johan Cruyff juga merupakan pemain yang hebat," tambahnya.

Messi mengetuai Barca menjuarai LaLiga dan Piala Raja Sepanyol musim lalu tatkala pemenang empat kali Liga Juara-Juara Eropah itu meraih kejuaraan liga kesembilan.

Pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan 41 gol serta mencatat 20 bantuan jaringan dalam 45 perlawanan bagi semua kejohanan sepanjang 2018, membuatkannya terlibat dalam kutipan gol paling banyak berbanding pemain lain dalam lima liga terbaik Eropah.

Namun, pencapaian itu hanya meletakkannya di tempat kelima bagi senarai undian anugerah Ballon d'Or minggu ini tatkala bintang Real Madrid, Luka Modric, diumumkan sebagai pemenang, sekali gus menyaksikan Messi tidak berada di podium buat kali pertama sejak 2006.