JUVENTUS 4 UDINESE 0

Maurizio Sarri menggambarkan gol pembukaan Gonzalo Higuain untuk Juventus memulakan kemenangan 4-0 ke atas Udinese sebagai jaringan "cantik yang luar biasa".

Juventus melangkah ke suku akhir Coppa Italia dengan kemenangan bergaya itu tanpa kelibat Cristiano Ronaldo yang tidak sihat.

Tatkala Ronaldo diserang masalah sinusitis, rakan sepasukannya memastikan tiada kejutan dalam aksi di Stadium Allianz itu awal pagi tadi.

Ia satu usaha yang mengagumkan daripada penyerang Argentina itu apabila menyudahkan lima hantaran pantas bersama rakan senegaranya, Paulo Dybala, untuk mengatasi penjaga gol dari Brazil, Nicolas.

"Perlawanan kalah mati selalunya sukar dijangka tetapi suasana dalam latihan memperlihatkan pasukan ini dalam keadaan cemerlang, jadi saya mengharapkan satu prestasi hebat dan kami telah memperagakan permainan yang baik," kata Sarri.

"Jaringan pertama merupakan keindahan yang jarang berlaku apabila pemain saling bertukar-tukar hantaran dengan begitu pantas."

Tambahnya seperti dipetik daripada laman sesawang Juventus: "Pasukan kami mempunyai potensi besar, kadang-kadang mereka memberikan perasaan bahawa mereka mampu beraksi dengan lebih baik lagi tetapi kami sedang berkembang.

"Ronaldo tidak diturunkan kerana bergelut dengan radang hidung sejak beberapa hari lalu dan hari ini keadaannya agak teruk, jadi kami lebih suka dia berehat kerana ia malam yang sejuk.

"Adakah Juventus ini mempamerkan corak permainan seperti yang diharapkan Sarri? Tidak, sebaliknya ia berkenaan Cristiano, Dybala, Higuain... Saya cuba menerapkan gaya tersendiri di dalamnya tetapi anda perlu menghormati ciri-ciri pemain yang ada."

Dybala menambah dua gol lagi termasuk penalti sementara Douglas Costa turut menyempurnakan satu lagi sepakan penalti ketika The Old Lady terus menguasai perlawanan dan mungkin menang dengan jurang yang lebih besar.

"Ia satu perlawanan penting," kata Higuain. "Kami mahu melepasi pusingan ini kerana kami mahu memenangi Coppa Italia."



Editor: Shaiful Shamsudin