Bintang Napoli, Lorenzo Insigne, mengulangi pendirian bahawa Maurizio Sarri telah mengkhianati kelab itu dengan menyertai juara Serie A, Juventus, sambil kapten itu menegaskan dia mahu bersara di Stadium San Paolo.

Bekas pengendali Napoli, Sarri, membuatkan pemain dan penyokong di Naples marah apabila dia berhijrah daripada kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, ke seteru utama Serie A, Juve, bulan lalu.

Sarri mengemudi Napoli menamatkan tiga musim berturut-turut dalam kelompok tiga terbaik liga sewaktu menguruskan kelab berkenaan sebelum ke Chelsea tahun lalu.

Ketika itu, Insigne lantang bersuara menyatakan perpindahan ke Juve akan mewujudkan pengkhianatan dan ikon Napoli itu mengulangi pendiriannya semalam.

"Saya pernah berkata dan kini mengulanginya, bagi kami warga Naples, ia satu pengkhianatan," katanya.

"Kini, kami perlu fokus dan cuba menewaskannya. Kejuaraan Scudetto adalah impian buat semua dan kami akan mencuba sekali lagi."

Masa depan Insigne menjadi perhatian tatkala dia menunggu untuk menandatangani kontrak baru dengan Napoli.

Pemain berusia 28 tahun itu -- yang mula menyerlah daripada program pembangunan kelab pada 2010 -- kini memiliki kontrak sehingga 2022.

Dia dikaitkan dengan Paris Saint-Germain (PSG) serta Liverpool dan ketika ditanya sama ada dia akan beraksi di luar, pemain Itali itu menambah: "Tidak. Saya masih muda dan saya gembira di Naples. Saya hanya mahu kekal di sini sepanjang karier.

"Menjaringkan gol menentang Real Madrid memberikan saya kepuasan dan saya harap warga muda Naples yang lain turut menikmatinya.

"Ia satu impian buat semua anak Naples dan saya berbangga untuk berada di posisi ini."

Insigne melakukan 28 penampilan Serie A musim lalu dan menyumbat 10 gol bagi membantu Napoli menamatkan saingan selaku naib juara di belakang Juventus.