Pengurus Juventus, Maurizio Sarri, menjangkakan juara Serie A itu akan membawa masuk lebih ramai pemain sebelum jendela perpindahan ditutup.

Ia menjadi musim sibuk buat Juve yang telah menandatangani Matthijs de Ligt, Aaron Ramsey, Adrien Rabiot, Luca Pellegrini, Merih Demiral dan Gianluigi Buffon.

The Old Lady juga dikaitkan dengan bekas pemain tengah dan tonggak Manchester United, Paul Pogba, selain pemain Inter, Mauro Icardi.

Dalam masa sama, masa depan Gonzalo Higuain, Blaise Matuidi dan Mario Mandzukic, turut terumbang-ambing dan Sarri menawarkan maklumat lanjut mengenai aktiviti perpindahan pasukannya selepas kekalahan kepada Tottenham dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019, malam tadi.

"Saya tidak mahu terlalu memberi tumpuan kepada pasaran pemain kerana saya fikir ia adalah tindakan yang betul.

"Sementara saya kurang memberikannya perhatian, biarlah mereka yang bertanggungjawab melakukan urusan itu," kata Sarri selepas pasukannya tumpas 2-3 kepada Spurs di Singapura.

"Mungkin terdapat pemain daripada liga berbeza yang tidak saya kenali. Oleh itu, lebih baik meninggalkan urusan itu kepada mereka yang bertanggungjawab.

"Kami mempunyai ramai pemain di posisi tertentu sementara ada posisi lain yang sebaliknya. Namun, kita sedang bercakap mengenai situasi yang menyaksikan tujuh pemain sedang menjalani rawatan kecederaan di Turin manakala lima pemain lagi belum kembali daripada komitmen antarabangsa."

Menurutnya lagi: "Saya fikir dalam keadaan sekarang dan sehingga akhir jendela perpindahan, ketibaan muka baru akan terus berlaku tetapi kami juga perlu melakukan sesuatu daripada segi penjualan pemain.

"Ketika ini, kami memiliki terlalu ramai pemain sehingga terpaksa menyisihkan dua atau tiga pemain daripada skuad Liga Juara-Juara (UCL), jadi sudah pasti kami perlu melakukan sesuatu."

Cristiano Ronaldo menemui sentuhan penyudah di Stadium Nasional, Singapura apabila pemenang lima gelaran Ballon d'Or itu meletakkan Juve di depan, empat minit selepas Higuain membatalkan gol pembukaan Erik Lamela.

Namun, Tottenham bangkit menerusi gerakan menakjubkan Lucas Moura dan Harry Kane pada minit ke-93.

Bercakap mengenai Ronaldo, Sarri berkata: "Cristiano adalah pemain terbaik dalam pasukan ini.

"Oleh itu, kami mesti mempersiapkan 10 pemain yang lain untuk mempertahankannya agar dia boleh bergerak bebas di atas lapangan."