Maurizio Sarri tidak terkejut melihat Cristiano Ronaldo kecewa sewaktu dikeluarkan dan berkata Juventus patut berterima kasih kepada bintang penyerang itu yang cuba beraksi melawan kesakitan.

Semua terkejut apabila Ronaldo dibawa keluar pada minit ke-55 sewaktu menewaskan AC Milan 1-0 awal pagi tadi sambil penggantinya, Paulo Dybala, menyumbat gol kemenangan di Turin.

Ia hadir lima hari selepas Ronaldo dibawa keluar ketika permainan berbaki lapan minit ketika menentang Lokomotiv Moscow dan memerlukan gol sebelum kemasukan Douglas Costa menghasilkan gol kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Ronaldo menunjukkan reaksi tidak gembira dan terus menuju ke terowong pemain apabila dibawa keluar ketika berdepan Milan.

Pengurus Juve, Sarri, sekali lagi menegaskan Ronaldo -- yang dilaporkan meninggalkan Allianz Arena sebelum perlawanan tamat -- sedang bergelut dengan kecederaan lutut yang mengganggu prestasinya dan percaya kekecewaan itu disebabkan masalah tersebut.

"Anda harus berterima kasih kepada Ronaldo kerana dia berkorban untuk beraksi walaupun dalam situasi sukar," katanya Sky Sport Italia.

"Dia melakukan segala-galanya untuk beraksi tetapi saya melihat dia tidak sihat. Jalan terbaik adalah membawanya keluar.

"Itu sifat semula jadi pemain apabila diminta meninggalkan padang, terutama apabila dia bekerja keras.

"Sepanjang bulan lalu, dia mengalami masalah dengan lutut yang dialami sewaktu latihan dan ia memberi kesakitan.

"Apabila dia berlatih serta beraksi dalam perlawanan yang bertekanan tinggi, ia membuatkannya tidak seimbang. Jadi, ia menyebabkan dia menggunakan lutut lebih daripada sepatutnya sehingga mencederakan otot betis dan paha.

"Situasi itu memberi kesan kepada prestasinya dan dia kini tidak berada pada prestasi terbaik. Semua pemain cuba memberikan aksi terbaik dan semestinya kecewa apabila dikeluarkan, sekurang-kurangnya selama lima minit, tetapi seorang jurulatih lebih risau jika pemain itu tidak berasa sedih."