Lothar Matthaus pasti penyerang Manchester City, Leroy Sane, akan melengkapkan perpindahan ke Bayern Munich ketika musim berehat.

Sane, 23, dikaitkan dengan gergasi Bundesliga itu selepas tiga musim di City, di mana dia memenangi dua kejuaraan liga.

Legenda Bayern dan Jerman, Matthaus, amat pasti bahawa Sane yang bakal mengakhiri kontrak di City pada 2021 bakal ke Allianz Arena.

"Seorang pemain, pada pandangan saya, yang akan menghiburkan peminat Bayern tahun depan adalah Sane. Saya pasti dia akan ke Munich," katanya.

"Jika presiden Bayern, Uli Hoeness, mendedahkan satu usaha untuk mendapatkan pemain, ia pasti menjadi keutamaan.

"Ia juga bakal menjadi perpindahan yang hebat memandangkan Sane adalah salah seorang pemain sayap terbaik. Dia mempunyai tipu helah, bahaya di depan gol, pantas, mampu beraksi di kedua-dua belah sayap serta mempunyai masa depan cerah.

"Pep Guardiola tidak berpuas hati dengannya, pemain mahu beraksi lebih kerap dan Bayern mencari pengganti kepada Arjen Robben dan Franck Ribery, jadi sekurang-kurangnya seorang pemain sayap perlu datang. Ia menguntungkan kedua-dua pihak."

Bayern yang menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman musim ini kini sedang cuba memperbaharui pasukan selepas mendapatkan khidmat Lucas Hernandez dan Benjamin Pavard sambil Arjen Robben dan Franck Ribery meninggalkan pasukan.

Matthaus menjangkakan Bayern bakal memecahkan rekod perpindahan kelab untuk membawa masuk Sane setelah membayar EUR80 juta (RM375 juta) kepada Atletico untuk khidmat Hernandez.

"Setiap kualiti memiliki harga sendiri dan Sane jauh lebih mahal berbanding pemegang rekod perpindahan, Hernandez," katanya.

"Dia mungkin tidak semahal Neymar tetapi mampu mencecah sehingga EUR100 juta (RM469 juta). Belum tiba masa tetapi dia memiliki masa depan cerah. Mungkin tahun depan, bintang muda seperti pemain Bayer Leverkusen, Kai Havertz, akan hadir ke Munich dan mencipta era baru."