Jadon Sancho berharap untuk menjuarai Bundesliga bersama Borussia Dortmund musim depan walaupun telah dikaitkan bakal kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 19 tahun itu yang menyertai Dortmund daripada Manchester City pada 2017, dilaporkan menjadi sasaran Manchester United selepas menyerlah bersama kelab Jerman itu.

Sancho menjaringkan 12 gol dan melakukan 14 bantuan jaringan dalam 34 penampilan saingan liga sementara persembahannya yang mengagumkan ketika bersama skuad England telah menarik lebih banyak perhatian.

Kegagalan Dortmund mengatasi Bayern Munich dalam persaingan kejuaraan liga menyaksikan lebih banyak kelab akan berusaha mendapatkan khidmat Sancho, namun pemain itu mahu meneruskan cabarannya di Signal-Iduna-Park bagi musim 2019-20.

"Saya sangat gembira dengan cara saya bermain musim ini," kata Sancho.

"Saya tidak menyangka mampu mencapai ke tahap ini. Segalanya bermula dengan kerja keras dalam sesi latihan.

"Pasukan ini telah banyak membantu saya dan keyakinan jurulatih yang diletakkan kepada saya," katanya.

Salah seorang pemain Dortmund yang bakal meninggalkan pasukan adalah Christian Pulisic, yang menyertai Chelsea bermula musim depan.

Sancho mengucapkan semoga berjaya buat rakan sepasukannya itu.

"Sudah pasti saya akan merindui Pulisic.

"Saya tumpang gembira buat dirinya dan berharap dia beraksi cemerlang bersama Chelsea."