Jadon Sancho dijamin kekal bersama Borussia Dortmund musim depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Hans-Joachim Watzke.

Pemain sayap England, Sancho, dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United selepas menikmati musim cemerlang di Bundesliga bagi musim 2018-19 di mana dia mencipta 12 gol dan 13 bantuan jaringan dalam 34 penampilan.

Dortmund sentiasa menekankan bahawa mereka tidak bercadang menjual pemain berusia 19 tahun itu dan Watzke menegaskan Sancho tiada dalam pasaran.

"Saya boleh katakan Sancho tidak akan mewakili Dortmund lebih dari 10 tahun," kata Watzke.

"Namun, kami mempunyai perjanjian jelas ketika ini. Sancho tiada dalam pasaran dan dia akan mewakili Dortmund musim depan, itu dijamin."

Dortmund, yang terlepas kejuaraan liga kepada Bayern Munich menerusi perbezaan dua mata, tidak membazirkan masa dalam memperkuatkan pasukan.

Perjanjian mendapatkan Julian Brandt, Thorgan Hazard dan Nico Schulz dicapai minggu lalu tatkala ia dijalankan hasil wang penjualan Christian Pulisic ke Chelsea.

"Jika anda melihat yuran perpindahan, anda boleh lihat kami tidak membazir. Kami menerima EUR64 juta (RM300 juta) hasil penjualan Pulisic dan melaburkan tambahan EUR10 juta (RM46 juta) untuk mendapatkan tiga pemain baru," ujar Watzke.

"Kami mengubah satu kepada tiga. Pujian saya berikan kepada pengarah sukan kelab, Michael Zorc."

Dortmund bercadang untuk mengutamakan lanjutan kontrak pengendali, Lucien Favre, serta pemain tengah, Mario Gotze, apabila Watzke berkata: "Saya rasa mereka berasa bagus. Kami akan mendapatkan perjanjian dengan dua keutamaan ini dalam beberapa minggu lalu. Kami mahu menambah tempoh mereka di sini.

"Berbekalkan status naib juara liga, Favre telah mencapai lebih daripada sasaran kami. Dia telah memberikan gambaran sebenar mengenai corak permainan. Favre adalah individu tepat untuk Dortmund. Dalam musim kedua atau ketiga, jelas sekali kami akan meraih gelaran."