Penggempur Inter Milan, Alexis Sanchez, berkata tiada pemain seperti Romelu Lukaku di dalam dunia tatkala dia memuji pemain termahal kelab Serie A itu.

Lukaku menyertai Inter menerusi rekod perpindahan kelab selepas meninggalkan Manchester United, bulan lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu telah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan di bawah bimbingan Antonio Conte yang cuba menamatkan dominasi Juventus, musim ini.

Sanchez mengikut jejak langkah Lukaku ke Inter daripada United secara pinjaman dan pemain Chile itu memuji rakan sepasukannya itu.

"Anda tidak akan temui seseorang sepertinya di dalam dunia," katanya kepada ESPN.

"Lukaku dan saya berlatih dengan baik tetapi kami perlu bermain lebih kerap untuk mendapatkan prestasi terbaik.

"Ini bukan detik yang baik untuk kami berada di Manchester. Terlalu banyak perubahan. Apabila terlalu banyak, ia sukar.

"Lukaku dan saya berlatih dengan bagus. Saya dapat rasakan keinginan yang mahu dicapai. Sebab itu saya di sini.

"Sebab itu juga Lukaku di sini. Adakah dia akan berjaya? Banyak perkara yang perlu kami katakan tentangnya pada penghujung musim nanti."

Lukaku menyumbat 42 gol buat United dalam semua kejohanan sejak tiba daripada Everton ke Old Trafford pada 2017.

Sanchez berhijrah ke United daripada Arsenal menerusi perpindahan berprofil tinggi, Januari tahun lalu, tetapi isu prestasi dan kecederaan membuatkan pemain berusia 30 tahun itu hanya menyumbat lima gol.

Inter akan melayan kunjungan Udinese, esok dan Sanchez berkemungkinan meraih penampilan pertama buat The Nerazzurri.