Renato Sanches menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika Bayern Munich bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1 dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC).

Kedua-dua pasukan memulakan saingan ICC di Klagenfurt semalam dan kelab Bundesliga itu turun buat kali pertama sejak berada di bawah bimbingan Niko Kovac.

Timothy Weah, anak kepada legenda, George, membuka tirai jaringan buat PSG dalam babak pertama, dengan melakukan larian untuk menyempurnakan hantaran Kevin Rimane di dalam kotak penalti.

Namun, tiga gol dalam separuh masa kedua menyaksikan Bayern mempamerkan kebangkitan, bermula dengan tandukan Javi Martinez susulan sepakan sudut Arjen Robben.

Sanches kemudian mengambil kesempatan ke atas penjaga gol gantian, Remy Descamps, untuk menyempurnakan sepakan percuma dan mencerahkan peluangnya untuk berada dalam skuad utama Bayern sebelum Joshua Zirkzee melengkapkan kemenangan.

Pengendali PSG, Thomas Tuchel, berpeluang untuk melakukan perubahan apabila bertemu Arsenal minggu depan sambil perlawanan ICC seterusnya buat Bayern adalah menentang gergasi Serie A, Juventus, Khamis ini.

PSG bermula cemerlang walaupun Tuchel menurunkan barisan kurang berpengalaman, menyaksikan tandukan rendah Adrien Rabiot memaksa Sven Ulreich untuk melayangkan badan.

Gianluigi Buffon juga dilihat bekerja keras di gawang PSG apabila pemain veteran itu merebahkan badan ke sebelah kanan untuk menafikan percubaan Oliver Batista-Meier.

PSG meraih gol pendahuluan pada minit ke-31 setelah larian Weah membolehkannya menewaskan Ulreich.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan di atas usaha Rimane yang merebut bola, menimbang bola sebelum membuka ruang dan melakukan hantaran sempurna buat Weah.

Christopher Nkunku turut mempamerkan aksi hebat di sepanjang babak pertama, termasuk rembatan kencang yang sedikit tersasar ketika memburu gol kedua.

Bayern hampir menyamakan kedudukan ketika aksi bersambung seminit, namun tandukan Sandro Wagner sekadar singgah ke palang gol sebelum Nkunku terlepas peluang keemasan, melakukan rembatan liar selepas menerima hantaran pendek Rabiot.

Kelab Bundesliga itu mempamerkan peningkatan dalam separuh masa kedua, menyaksikan Martinez menanduk masuk sepakan sudut pemain sayap, Robben, untuk menyamakan kedudukan ketika aksi berbaki 30 minit.

Bayern mengambil giliran untuk berada di depan setelah Sanches menyempurnakan sepakan percuma yang memerangkap Descamps.

Pemain Portugal itu dapat mengesan penjaga gol yang menggantikan Buffon itu terkeluar daripada posisi sepatutnya, sebelum melambungkan bola dari jarak 20 ela.

Kemenangan disahkan buat Bayern apabila pemain gantian, Serge Gnabry, mempamerkan aksi memukau untuk memberi ruang buat Zirkzee mencatat gol ketiga pasukannya, menyaksikan pemain berusia 17 tahun itu menebus kekecewaan sebelum itu.