Pengendali Argentina, Jorge Sampaoli, berjanji bahawa pasukannya akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan mereka layak ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 susulan kekalahan memalukan 3-0 di tangan Croatia, awal pagi tadi.

Tewas dalam aksi final di tangan Jerman ketika saingan empat tahun lalu, Argentina gagal untuk melalui permulaan cemerlang bagi kempen di Russia, selepas sekadar seri 1-1 dengan Iceland yang beraksi buat kali pertama dalam Piala Dunia sebelum dimalukan oleh Luka Modric dan rakan sepasukannya.

La Albiceleste hanya memiliki satu mata ketika ini dan perlu mencatat kemenangan besar ke atas Nigeria di St Petersburg, atau mungkin berdepan kemungkinan tersingkir awal buat kali pertama sejak 2002.

"Saya tidak tahu mengenai rasa malu tetapi merana dengan penuh kesakitan," kata Sampaoli.

"Saya telah mengharungi keperitan sebagai pengurus pasukan dan ia lebih sakit apabila melibatkan pasukan kebangsaan.

"Perancangan kami untuk perlawanan bertemu Croatia tidak menjadi dan kami tiada pilihan lain kecuali berjuang bermati-matian dalam aksi terakhir," katanya.

Dalam masa sama, Sampaoli turut memohon maaf kepada semua penyokong Argentina selepas anak-anak buahnya gagal mempamerkan persembahan yang diharapkan.

"Saya merayu agar penyokong-penyokong memaafkan saya, terutama buat mereka yang telah hadir ke sini untuk memberikan sokongan.

"Saya bertanggungjawab atas kekalahan ini. Seperti semua penyokong, saya turut merasai kesakitan itu," tambahnya.