Bekas jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli, bersetuju untuk dilantik sebagai pengurus kelab gergasi kancah Campeonato Brasileiro, Santos.

Bagaimanapun, belum ada butiran lanjut mengenai berita tersebut selain fakta bahawa Sampaoli telah menerima tawaran untuk mengetuai Santos pada musim 2019.

Beliau dijangka akan memuktamadkan kontraknya hujung minggu ini, dengan khidmat terakhir pengurus berusia 58 tahun itu adalah ketika memimpin Argentina dalam Piala Dunia 2018.

Sampaoli menjulang Chile untuk meraih kejayaan Copa America 2015 yang mengaitkannya dengan pasukan Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Dia kemudian mengambil alih jawatan di Sevilla dan menyerlah dalam kempen LaLiga 2015-16 yang menyumbang kepada pelantikannya untuk mengemudi skuad negaranya.

Jaringan hatrik Lionel Messi dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia 2018 zon Amerika Selatan ketika menentang Ecuador mengakhiri kebimbangan Argentina yang berdepan kegagalan layak ke temasya Russia 2018.

Namun, kredibiliti Sampaoli tercalar susulan kegagalan Argentina untuk menyerlah di Russia yang berakhir dengan kekalahan 3-4 kepada bakal juara, Perancis, dalam pusingan 16.

Santos akan menjadi kelab pertama Sampaoli di Amerika Selatan sejak memimpin Universidad de Chile meraih tiga gelaran liga di antara tahun 2010 dan 2012, termasuk trofi Copa Sudamericana pada 2011.

Laporan bulan lalu mengaitkan Sampaoli akan kembali menggalas peranan di Chile selepas jawatan itu dikosongkan oleh rakan senegaranya, Gerardo Martino, yang membantu Atlanta United meraih kejuaraan Piala MLS.

Tahun ini, Santos menamatkan saingan liga di tempat ke-10.

Ini bermakna mereka terlepas peluang beraksi dalam Copa Libertadores dan akan bertanding dalam kempen Sudamericana musim depan.