Jorge Sampaoli mendedahkan barisan utamanya lebih awal menjelang aksi pembukaan Piala Dunia Russia, Jumaat lalui, namun kali ini jurulatih itu menegaskan masih belum memutuskan kesebelasan utamanya untuk menghadapi Croatia di Nizhny Novgorod, awal pagi nanti.

Sampaoli mengumumkan barisan pemainnya untuk pertemuan dengan Iceland dalam sidang akhbar, 24 jam sebelum sepak mula. Namun, dia mendakwa tindakan itu bukanlah tanda bahawa mereka tidak menghormati pendatang baru Piala Dunia itu.

Iceland mengikat Argentina 1-1 yang secara tidak langsung meningkatkan tekanan terhadap Lionel Messi dan rakan-rakan sepasukannya menjelang perlawanan kedua nanti.

Dalam sidang berita menjelang pertemuan dengan Croatia, Sampaoli berkata: "Saya tidak dapat memberikan anda bayangan skuad kerana kami belum memutuskannya lagi."

Jurulatih berpengalaman Argentina itu lantas membincangkan isu pemilihan pemain utama yang sedang dipertimbangkannya.

"Pihak lawan mempunyai ramai pilihan pemain, terutama di bahagian serangan. Oleh itu, kami harus mempunyai perancangan tertentu tetapi haruslah fleksibel," tambah Sampaoli.

"Perubahan yang saya ketengahkan nanti mungkin mencerminkan perubahan dalam sistem permainan demi memberikan kami lebih fleksibiliti. Apa yang paling penting bagi kami ialah untuk mengukuhkan bahagian pertahanan supaya kami dapat membina serangan kami dengan lancar selain lebih berbisa di dalam kotak penalti. "

Setelah mempertahankan kelibat bintang, Lionel Messi, di atas kegagalannya menyempurnakan penalti ketika melawan Iceland, Sampaoli memberi petunjuk bahawa penggempur Barcelona itu merupakan tunjang utama untuk menghadapi Croatia.

"Ideanya adalah untuk mencari ruang di mana Messi tidak terkepung. Itulah salah satu idea utama yang kami ketengahkan sebagai sebuah pasukan," jelasnya.

"Jika dua atau tiga pemain mengawal ketat Messi, akan ada pemain lain yang akan bebas. Ini akan mewujudkan ruang dan peluang.

"Dengan itu, kami ingin mempunyai pemain yang dapat memanfaatkan situasi it, seperti mana ketika menghadapi Iceland, dia diberi kawalan ketat.

"Kami harap dapat mengatasi perkara ini sejak beberapa hari lalu supaya Leo dapat mengetengahkan kualiti yang dimilikinya dan jika dia tidak dapat mengekspresikan dirinya, diharapkan pemain lain boleh (melakukannya)."