Presiden Persatuan Bolasepak Mesir (EFA), Hany Abo Rida, menegaskan Mohamed Salah tidak akan meninggalkan Piala Dunia awal di sebalik penyingkiran Mesir.

Mesir tewas dalam dua perlawanan Kumpulan A -- 0-1 kepada Uruguay dan kemudian 1-3 kepada Russia, sekaligus meleburkan harapan mereka untuk ke pusingan seterusnya.

Skuad kendalian Hector Cuper itu layak ke pentas tertinggi ini buat kali pertama sejak 1990 tetapi bintang utama mereka, Salah, gagal untuk memberikan impak yang besar selepas mengalami kecederaan bahu ketika beraksi untuk Liverpool dalam final Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Real Madrid.

Tidak terlibat dalam kekalahan pertama Mesir sebelum menjaringkan gol sagu hati ketika berdepan tuan rumah, penyingkiran mereka daripada Piala Dunia menimbulkan khabar angin bahawa bilik persalinan The Pharaohs sedang bergolak.

Abo Rida menolak cadangan mengenai pemain berusia 26 tahun itu mungkin meninggalkan saingan Piala Dunia sebelum berdepan Arab Saudi.

"Saya tidak tahu sebarang maklumat mengenai Liverpool," katanya.

"Tetapi kami masih lagi memiliki Salah dan dia masih lagi diperlukan untuk kekal bersama pasukan.

"Salah agak terkejut apabila menerima berita mengenai dia akan meninggalkan skuad kebangsaan yang tular di media sosial," katanya.