RUSSIA 3 MESIR 1

Satu jaringan penalti Mohamed Salah belum cukup untuk menyelamatkan Mesir apabila tuan rumah Piala Dunia, Russia, menghampiri pusingan 16 selepas meraih kemenangan 3-1 dalam saingan Kumpulan A di Stadium St Petersburg, awal pagi tadi.


Membuat penampilan pertama sejak cedera dalam final Liga Juara-Juara pada 26 Mei lalu, Salah diketepikan dalam aksi menentang Uruguay tetapi masih berjaya menandakan kemunculan pertamanya dalam Piala Dunia dengan jaringan pada minit ke-73.

Bagaimanapun, kekecewaan mereka bermula daripada serangan Russia pada minit ke-47 apabila gol sendiri terhasil menerusi Ahmed Fathy ketika dia berusaha mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Russia mengambil kesempatan daripada peluang baik mereka, dengan Denis Cheryshev dan Artem Dzyuba masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh tiga minit untuk meletakkan Russia selesa di depan.

Cheryshev menjaringkan gol menerusi rembatan leret pada minit ke-59, sekali gus menyamai rekod tiga gol dijaringkan Cristiano Ronaldo setakat ini.

Tiga minit kemudian, Dzyuba membuktikan dia mempunyai kemahiran tinggi apabila membuat kawalan baik daripada hantaran jauh sebelum meledak gol ketiga untuk Russia.

Walaupun berhempas-pulas dalam perlawanan itu, Salah diberi ganjaran daripada usahanya apabila dia dikasari Roman Zobnin -- video bantuan pengadil (VAR) membatalkan keputusan awal pengadil untuk memberi tendangan percuma hampir dengan kotak penalti.

Bintang Liverpool berkenaan melakukan penyudah dari tempat itu tetapi gagal untuk menemui gol bagi mencetus kebangkitan Mesir sementara tempat Russia dalam pusingan 16 terjamin sekiranya Uruguay menewaskan Arab Saudi, malam ini.