Mohamed Salah telah disahkan cergas untuk memperkuatkan skuad Mesir bagi menghadapi aksi kedua peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 menentang Russia.

Salah hanya memanaskan bangku simpanan sewaktu Mesir kecundang 1-0 di tangan Uruguay dalam perlawanan pertama selepas Jose Gimenez menanduk masuk gol kemenangan ketika aksi berbaki seminit.

Penggempur Liverpool itu bergelut untuk pulih daripada kecederaan bahu yang dialami ketika Real Madrid mengatasi pasukan kendalian Jurgen Klopp itu 3-1 dalam final Liga Juara-Juara di Kiev, 26 Mei lalu.

Bagaimanapun, menjelang aksi kedua pada Selasa ini, Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) mengesahkan pemain sensasi itu akan berada dalam kesebelasan utama dalam aksi bertemu Russia yang juga tuan rumah kejohanan kali ini.

"Dia cergas ketika aksi berdepan Uruguay tetapi pengurus pasukan tidak mahu mengambil sebarang risiko," kata kenyataan pihak EFA.

Mesir dijangka berdepan cabaran getir dalam aksi kedua memandangkan Russia mahu mengesahkan tiket ke pusingan kedua lebih awal selepas membelasah Arab Saudi 5-0 dalam perlawanan pembukaan, Khamis lalu.