Penggempur Liverpool, Mohamed Salah, diketepikan daripada skuad Mesir bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika menentang Kenya dan Comoros akibat kecederaan buku lali.

Salah berdepan masalah tersebut sejak mengalaminya sewaktu kemenangan ke atas Leicester City, bulan lalu, akibat terjahan lewat daripada Hamza Choudhury.

Pemain berusia 27 tahun itu dilihat mengalami kesakitan itu semula ketika pertemuan dengan Manchester City, Ahad lalu.

Dia dibentes oleh Fernandinho ketika kemenangan 3-1 buat Liverpool itu, terjatuh sebelum meneruskan aksi sehingga minit ke-87 dan dilihat berjalan dengan kaki berbalut selepas tamat perlawanan.

Salah menyertai rakan sepasukan dalam skuad kebangsaannya kelmarin tetapi Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) mengumumkan bekas pemain Chelsea dan AS Roma itu tidak akan beraksi berdepan Kenya atau Comoros.

"Ujian perubatan mengesahkan Salah tidak bersedia untuk aksi berdepan Kenya dan Comoros," kata wakil EFA.

Salah telah menjaringkan sembilan gol dalam semua kejohanan buat Liverpool musim ini, termasuk lima jaringan dalam tujuh aksi terakhir.

Mesir akan berdepan Kenya di Alexandria dalam aksi pertama peringkat kumpulan saingan kelayakan esok sebelum bertandang ke Moroni empat hari kemudian.