Penyerang negara, Safawi Rasid, memburu permulaan sempurna bersama skuad Harimau Malaya tahun ini apabila bertekad meledak jaringan dalam pertemuan menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Safawi terlepas peluang mewakili skuad senior kebangsaan ketika tugasan Piala Airmarine menentang Singapura dan Afghanistan, Mac lalu.

Ia susulan khidmatnya diutamakan untuk skuad B-23 negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang bersaing dalam kempen kelayakan AFC B-23 2020.

Kembali ke pangkuan skuad negara untuk aksi play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, Safawi berharap dapat menjelmakan aksi terbaik untuk memastikan kejayaan buat Malaysia.

"Saya akan terus membuat percubaan sepertimana ketika melakukan jaringan ke atas Laos.

"Saya mahu berikan aksi terbaik berdasarkan apa yang saya belajar di Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya dalam sesi latihan terakhir, semalam.

Safawi akan beraksi di posisi kegemarannya di sayap kanan untuk pertemuan dengan Nepal susulan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, tidak dapat diturunkan ekoran penggantungan perlawanan.

Mengakui Nepal sebagai lawan yang mantap, Safawi bagaimanapun percaya Harimau Malaya mampu mencapai keputusan positif sebagai bekalan untuk berdepan Timor Leste.

"Ini perlawanan yang penting sebagai persediaan bertemu Timor Leste.

"Adalah penting untuk kami mengekalkan momentum," katanya.