Safawi lega tamat kemarau gol antarabangsa

Oleh Staff Writer 11 November 2019 238
Safawi lega tamat kemarau gol antarabangsa
Penyerang Harimau Malaya, Safawi Rasid, mengakui jaringannya ketika membantu skuad negara mengatasi Tajikistan 1-0 tepat pada masanya menjelang misi getir dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Bukit Jalil, Khamis ini.

Sabtu lalu, Safawi memukau penyokong negara yang berada di Stadium Nasional menerusi jaringan yang dilakukannya dalam perlawanan itu.

Terhasil menerusi satu gerakan sempurna, gol itu membolehkan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakhiri kemarau jaringan di pentas antarabangsa.

Ia adalah gol pertamanya dalam tempoh empat bulan sejak kali terakhir meledak dua gol dalam kemenangan 7-1 Malaysia ke atas Timor Leste, Jun lalu.

"Mungkin ini motivasi dan bagus untuk saya mendapatkan tahap keyakinan sebelum berdepan Thailand dan Indonesia. Saya fikir bahagian sayap serta bek kiri dan kanan semakin baik untuk menjaringkan gol," katanya.

Ketika Safawi cemerlang di bahagian serangan, Syamer Kutty Abba pula ampuh menjana jentera tengah ketika berdepan Tajikistan.

Dia menyerlahkan aksi sebenarnya dalam perlawanan itu, terutama ketika bergandingan dengan Brendan Gan dan Nor Azam Azih dalam babak kedua.

"Semua pemain memberikan aksi terbaik dalam kedua-dua babak permainan. Mungkin kami dapat menyesuaikan diri dengan perlawanan, jadi dapat tampil lebih baik selepas rehat," ujar Syamer.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen