Safawi gembira kembali ledak gol

Oleh Bernama 10 November 2019 1000
Safawi gembira kembali ledak gol
Penyerang skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid, gembira apabila kembali menjaringkan gol ketika membantu Malaysia mengatasi Tajikistan 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia merupakan jaringan pertama dalam tempoh empat bulan buat tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sejak kali terakhir meledak dua gol ketika Malaysia menewaskan Timor Leste 7-1 dalam playoff kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun lalu.

Safawi berasakan jaringan hasil gerakan solonya pada minit ke-72 itu akan meningkatkan keyakinannya menjelang pertembungan dengan Thailand dan Indonesia dalam aksi Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, masing-masing pada 14 dan 19 November ini.

"Sudah beberapa perlawanan untuk pasukan kebangsaan saya tak menjaringkan gol. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong, memberikan semangat kepada saya.

"Saya gembira untuk kembali menjaringkan gol.

“Mungkin ia sebagai motivasi yang bagus untuk saya... untuk mendapatkan keyakinan bagi perlawanan bertemu Thailand dan Indonesia,” katanya.

Malaysia perlu meraih keputusan positif ketika menentang Thailand dan Indonesia untuk kekal relevan dalam saingan Kumpulan G bagi mencapai sasaran ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Skuad negara kini mengumpulkan tiga mata dan menduduki tangga keempat dalam Kumpulan G, dibezakan empat mata dengan pendahulu, Thailand, yang terikat mata yang sama dengan Vietnam.

Safawi, yang muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia 2019, optimis kombinasi terbaik skuad kebangsaan mampu kembali meraih kemenangan selepas tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam dua aksi terdahulu.

"Macam perlawanan sebelum ini, kami banyak mencipta peluang tetapi tidak menyempurnakannya, jadi itulah yang perlu diperbaiki.

"Kami ada kekuatan di bahagian sayap kiri serta kanan dan ia ditambah dengan pertahanan kedua-dua belah posisi yang baik. Itu kelebihan untuk menjaringkan gol," tambahnya.

— BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen