Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini mengesahkan Jelius Ating tidak dapat menyambung kontraknya sebagai pengendali utama skuad Tambadau musim depan.

Ia berikutan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mewajibkan ketua jurulatih bagi pasukan Liga Super perlu memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, berkata pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada FAM bagi memberi kelonggaran agar Jelius dapat terus membimbing skuad Sabah, namun ia gagal.

"Kalau saya, sudah pasti saya pilih Jelius kerana sumbangan besarnya sehingga pasukan berjaya muncul juara Liga Perdana musim ini serta layak beraksi dalam Liga Super musim depan.

"Bagaimanapun kami terpaksa akur dengan peraturan yang ditetapkan FAM. Pihak SAFA juga telah mengenal pasti beberapa calon yang sesuai bagi menggantikan tempat Jelius," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Kongres Tahunan SAFA di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Peter turut membayangkan pengendali baharu Sabah nanti adalah dari luar negara yang memiliki lesen kejurulatihan Pro A AFC.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Jelius, beliau berkata, pasukan Sabah akan tetap menggunakan khidmat bekas pemain berusia 48 tahun itu sebagai pembantu jurulatih.

"Kami masih perlukan Jelius dan saya harap di samping menjadi pembantu kepada ketua jurulatih nanti, beliau akan belajar daripada pengendali pasukan dan di masa akan datang akan dapat mengambil lesen Pro A.

"Tidak mustahil beliau akan kembali sebagai ketua jurulatih suatu hari nanti," katanya.