Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan membina sebuah rumah baru untuk bekas pemain negeri itu, Paulus Jimit, yang kini menderita selepas separuh badannya lumpuh sejak 2015.

Perkara itu diumumkan pemangku presidennya, Datuk Peter Anthony, selepas mengetuai rombongan persatuan itu melawat Paulus di kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Tambunan, hari ini.

"Kita tahu Paulus tidak memiliki rumah tetap atau rumah sendiri dan masih menetap di kuarters JKR dan oleh sebab itu, kami akan membina sebuah rumah baru.

"Dengan sumbangan ini, termasuklah kutipan derma sempena perlawanan amal malam ini, kami harap akan dapat meringankan beban Paulus dan juga seorang lagi bekas pemain, Jelius Arurung, yang mengalami masalah penglihatan," katanya ketika ditemui hari ini.

Peter berkata rumah untuk Paulus itu akan dibina secepat mungkin agar dia dan keluarganya dapat mendiaminya kerana keadaan kuarters JKR di Tambunan juga kini tidak begitu baik.

Terdahulu, Peter juga berkata SAFA akan merangka pelan persaraan untuk bekas pemain Sabah selepas bersara daripada bola sepak bagi menjaga kebajikan mereka.

Paulus, 57, adalah bekas pemain Sabah yang menyarung jersi pasukan itu sejak 1980 bersama-sama dengan dua legenda Malaysia, James Wong dan Hassan Sani.

Setahun kemudian, dia dipanggil menyertai skuad belia Malaysia ke kejohanan sukan di UAE manakala pada 1983 pula, dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya, namun terpaksa menolaknya kerana ketika itu dia sudah bekerja dengan JKR.

Tahun terakhirnya beraksi bersama Sabah ialah pada 1990 bersama-sama legenda bola sepak Sabah seperti Matlan Marjan dan Henry Anjun dan selepas itu, Paulus turut pernah menjadi jurulatih skuad bawah 16 tahun Sabah.

Sepanjang kariernya, Paulus terkenal dengan rembatan derasnya serta jaringan jarak jauh selain mampu melakukan jaringan terus daripada sepakan sudut.

Paulus mula terlantar sakit selepas terkena strok dan mengalami pendarahan di kepala akibat terjatuh daripada kenderaannya pada 26 Mac 2015 dan sejak itu, dia tidak lagi dapat melakukan kerjanya sebagai kakitangan JKR.