Jurulatih Sabah, Jelius Ating, berharap aksi persahabatan bertemu pasukan DPMM Brunei, hari ini, dapat memulihkan momentum mereka selepas saingan Liga Perdana berehat panjang ketika ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara Brunei itu adalah aksi persahabatan kompetitif pertama Sang Badak sejak 12 Mac lalu, iaitu selepas aksi bertemu MISC-MIFA di Stadium Likas.

"Perlawanan persahabatan ini penting kerana kami mahu memulihkan momentum pasukan ekoran rehat panjang liga," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Jelius berkata satu perlawanan kompetitif dalam rehat panjang hampir sebulan ini sebenarnya tidak memadai bagi mereka dan diharapkan aksi bertemu DPMM Brunei akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buahnya.

Beliau juga percaya DPMM Brunei akan memberi ujian dan pemanas badan terbaik buat mereka kerana pasukan negara jiran itu bermain dalam Liga Singapura.

DPMM menduduki tempat kelapan dalam Liga Singapura musim lalu tetapi pernah muncul juara pada 2015 dan tempat ketiga pada 2016.

Sabah setakat ini mengumpul sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga seri untuk berada di kedudukan kedua carta liga, iaitu enam mata di bawah pendahulu, Felda United, tetapi memiliki kelebihan jaringan untuk berada di atas UiTM FC yang turut mengumpul sembilan mata di tangga ketiga.

Pasukan yang turut popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu akan menyambung semula saingan liga bertemu UiTM FC pada 10 April seterusnya Felda United pada 14 April, dengan kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu.