Walaupun mungkin sedikit terlewat, Sabah memulakan aksi pramusim pertama mereka dengan kemenangan apabila membenam kelab Filipina, Stallion FC, 4-2 di Stadium Binan, Laguna, Filipina, hari ini.

Dalam perlawanan itu, Sabah mendahului Stallion 4-0 menerusi jaringan ketua pasukan, Rawilson Batuil, Maxsius Musa, Mohd Azzizan Nordin serta calon pemain import mereka dari Moldova, Petru Leuca.

Bagaimanapun, gawang skuad kendalian Jelius Ating itu kemudian dibolosi dua kali selepas beberapa penggantian pemain dilakukan Sabah.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon, ketika dihubungi berkata ia adalah perlawanan baik buat pasukan.

"Ia perlawanan yang baik bukan hanya kerana kami menang tetapi yang lebih penting, pasukan mendapat ujian baik daripada pasukan tuan rumah," katanya.

Stallion FC adalah penghuni tempat keempat Liga Bola Sepak Filipina musim lalu.

Mengenai dua import yang diuji dalam perlawanan itu, Henry berkata kedua-duanya akan terus dipantau sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sabah mempunyai satu lagi perlawanan persahabatan menentang Kaya FC di Pusat Latihan Negara, Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF), Carmona Cavite, Khamis ini.

Kaya FC yang juga naib juara PFL musim lalu dijangka akan memberi ujian lebih getir buat Sabah.

Ia adalah pertemuan kedua bagi kedua-dua pasukan selepas kali pertama pada pra-musim lalu di mana Kaya FC menang 2-1.

Dua perlawanan persahabatan di Filipina itu adalah pemanas badan terakhir Sabah sebelum memulakan cabaran Liga Premier musim ini menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Likas, 2 Februari ini.