Jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov, berjanji untuk merantai Mohamed Salah apabila tuan rumah Piala Dunia 2018 itu menghadapi Mesir di St Petersburg, esok.

Berita mengenai Salah membayangi sidang media pra-perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Krestovsky itu sambil bintang Liverpool terbabit diisytiharkan cergas susulan kecederaan bahu yang dialaminya dalam kekalahan final Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, bulan lalu.

Persatuan Bolasepak Mesir turut memaklumkan bahawa Salah sudah bersedia untuk menghadapi Uruguay selepas tumbang 0-1 dalam aksi pembukaan. Begitupun, jurulatih berpengalaman, Hector Cuper, memilih untuk tidak mengambil risiko terhadap aset berharganya itu.

Salah, 26, mempamerkan aksi memukau semasa kempen Liga Perdana dan Liga Juara-Juara pada musim sulung menakjubkan di Anfield yang menyaksikannya menghasilkan 44 gol, namun Cherchesov yakin dia mempunyai penawarnya sambil pasukannya mahu meneruskan kemenangan 5-0 yang dirakamkan ke atas Arab Saudi.

"Apa yang boleh saya katakan, saya memiliki keyakinan terhadap pasukan saya," katanya. "Saya percaya pada pemain dan saya akan memberi anda jawapan yang mudah.

"Kami sudah bersedia melakukan tugas ini dan kami akan melakukannya."

Cherchesov menolak tanggapan bahawa taktik yang rumit akan diketengahkan sambil mempertahankan ketua pasukan Madrid, Sergio Ramos, yang dituduh sengaja mencederakan Salah.

"Wujudkah seorang pemain yang bersikap seperti Ramos? Saya tidak faham," jawabnya.

"Saya nampak dia menjulang trofi dan keesokannya tiada lagi trofi untuk diraikan.

"Saya percaya Ramos tidak berniat melakukannya dengan sengaja. Ini adalah sebahagian daripada permainan seperti yang saya faham, tiada siapa yang sengaja mahu mencederakan pemain lawan."