Wayne Rooney menggesa Manchester United untuk tidak mendapatkan bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo atau Gareth Bale kerana khuatir tindakan itu hanya akan membazirkan wang.

Skuad The Red Devils kini dalam proses memasuki era baru di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dan dikaitkan dengan beberapa bintang besar.

Mereka mahu mencabar seteru setempat, Manchester City, yang kini mengungguli saingan Liga Perdana Inggeris tatkala United gagal mara ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Setelah musuh tradisi, Liverpool, bergelar juara Eropah minggu lalu, United kini mahu kembali ke zaman kegemilangan dan memperbaiki prestasi daripada menduduki tangga keenam liga musim 2018-19.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman United, Rooney, berkata bekas majikannya itu perlu bersabar serta membina pasukan bagi kejayaan jangka masa panjang di England serta Eropah berbanding mengambil jalan pintas.

Bercakap dalam rancangan BBC Five Live's Sportsweek, Rooney berkata: "Buat Solskjaer, perkara pertama perlu dia lakukan adalah cuba membina skuad. Saya tidak rasa membawa masuk seorang atau dua pemain melebihi GBP100 juta (RM528 juta) akan membantu pasukan serta pemain sedia ada.

"Saya rasa dia mungkin perlu cuba melihat kepada lima atau enam pemain yang memiliki potensi tetapi tidak berbelanja sekitar GBP130 juta (RM686 juta) untuk mereka.

"Saya fikir anda perlu berbelanja kira-kira GBP40 juta (RM211 juta) dan cuba meningkatkan pasukan, di mana ia membolehkan anda mendapatkan sentuhan terbaik daripada pemain serta membina pasukan berdasarkan lima atau enam pemain baru dan bergabung dengan pemain sedia ada.

"Anda boleh membawa masuk Ronaldo, Sergio Ramos, Lionel Messi atau Bale tetapi ia akan memerlukan jumlah wang yang banyak.

"Mungkin anda dapat gunakan Ronaldo selama dua musim, beberapa tahun bersama Ramos, kemudian anda berhabis wang.

"Kelab memerlukan pembentukan berdasarkan pemain muda. Jelas sekali mereka perlu menjadi bagus dan membolehkan pengurus meningkatkan mereka," katanya.