Ronaldo yakin kembali pulih selepas dua minggu

Oleh Staff Writer 26 Mac 2019 608
Ronaldo yakin kembali pulih selepas dua minggu
PORTUGAL 1 SERBIA 1

Cristiano Ronaldo tidak kisah dengan kecederaan yang dialaminya ketika Portugal terikat 1-1 dengan Serbia di Lisbon, awal pagi tadi, dan percaya dia akan kembali pulih dalam tempoh dua minggu.


Ronaldo dikeluarkan pada minit ke-31 dalam aksi pusingan kelayakan Euro 2020 itu gara-gara mengalami ketegangan otot ketika mengejar bola.

Bagaimanapun, penyerang berusia 34 tahun itu menegaskan keadaannya tidak begitu serius dan berharap akan segera cergas bagi membantu Juventus menentang Ajax dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, 10 April ini.

Juve dijadualkan untuk bertandang ke Cagliari di antara dua perlawanan Serie A di laman sendiri dengan Empoli dab AC Milan sebelum berkunjung ke Amsterdam.

"Saya tidak risaukannya, saya mengenali tubuh saya," katanya kepada wartawan.

"Saya akan kembali pulih dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi."

Dalam aksi di Lisbon itu awal pagi tadi, Portugal ketinggalan menerusi jaringan penalti Dusan Tadic, namun usaha keras daripada Danilo Pereira memastikan tuan rumah menyamakan kedudukan sebelum waktu rehat.

Juara bertahan itu berada di ambang kemenangan dalam babak kedua apabila bola terkena tangan Antonio Rukavina dalam kawasan penalti, namun pengadil, Szymon Marciniak, mencetus kontroversi apabila mengubah keputusan awalnya itu kepada sepakan percuma selepas mendapatkan pandangan daripada pembantunya.

Ronaldo mengkritik keputusan pengadil itu dengan berkata: "Ia amat menyakitkan hati, pasukan kami telah melakukan segala-galanya.

"Kami mencipta peluang dengan permainan yang lebih baik sehingga Serbia langsung tidak berpeluang.

"Pada pandangan saya, pengadil seharusnya memberikan sepakan penanti.

"Pembantunya berada pada kedudukan 40 meter daripada insiden itu dan dia pula yang melakukan keputusan bagi pihak pengadil?

"Ia agak pelik bagi saya," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, mendedahkan Marciniak sudah meminta maaf gara-gara kesilapannya itu.

"Dia menjemput saya ke biliknya bagi menyaksikan semula insiden itu.

"Kami menyaksikannya dan ia memang jelas dan dia kemudian memohon maaf kepada saya.

"Namun, alasan itu tidak memberikan sebarang kebaikan buat saya.

"Tiada siapa dari jarak 40 meter seperti itu dapat melihat dengan jelas, lebih-lebih lagi pengadil dapat melihatnya.

"Apa yang dapat saya lakukan dengan alasan seperti itu?

"Pembantu pengadil ada di sana dan saya mahu katakan ia adalah kelasahannya," katanya.

Portugal tidak akan berdepan aksi kelayakan sehingga September depan dan mereka kini menduduki tangga ketiga Kumpulan B dengan dua mata daripada dua perlawanan di laman sendiri.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen