Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, menegaskan dia tidak terkejut dengan penyingkiran Juventus dan Cristiano Ronaldo daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Gergasi Serie A itu dikejutkan dengan kekalahan 2-1 kepada Ajax di Turin awal pagi tadi, tewas di peringkat suku akhir 3-2 secara agregat.

Sebaliknya, Barcelona mudah mengatasi Manchester United 4-0 secara agregat selepas meraih kemenangan 3-0 di Nou Camp.

Ronaldo gagal ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2009-10, sekali gus menutup peluang Juve mengejar gelaran Eropah musim ini tetapi Valverde berkata tiada jaminan buat mana-mana kelab.

"Saya tidak melihat kepada pemain tertentu. Juventus tidak ke separuh akhir tetapi Ajax berjaya. Saya tidak pasti ia adalah kelebihan atau tidak," katanya.

"Apa sahaja boleh berlaku. Kami akan melihat semula persembahan mereka selepas ini."

Barcelona akan berdepan Liverpool atau Porto dalam separuh akhir manakala Ajax berdepan Tottenham atau Manchester City.