Bekas pengarah kelab, Marco Fassone, mendedahkan penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo, merupakan sasaran buat AC Milan pada tahun 2017.

Ronaldo menyertai Juventus, Julai lalu, dengan perpindahan mencecah EURO100 juta (RM477 juta) dan menjaringkan gol kemenangan ketika berdepan Milan di San Siro.

Tetapi, Fassone menjelaskan kapten Portugal itu berkemungkinan meninggalkan Real Madrid untuk menyertai Milan pada tahun sebelumnya.

Bekas pemilik kelab, Li Yonghong, mahu membawa Ronaldo ke Milan tetapi Fassone berasakan nilai perpindahan terlalu tinggi selepas berbincang dengan ejennya, Jorge Mendes.

"Li mahukan Ronaldo kerana beliau percaya impaknya dapat meningkatkan pasaran di China," katanya.

"Pemain tersebut mahu meninggalkan Real dan kami telah bertemu pada Julai 2017 dengan wakilnya untuk membincangkan mengenai kos perpindahan dan ketersediaan pemain itu untuk berhijrah.

"Kemudian saya memujuk Li untuk melepaskan impiannya kerana Ronaldo terlalu mahal," ujarnya.

Ronaldo kekal semusim lagi bersama Real dan menjulang Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut.

Ronaldo melakukan permulaan yang perlahan bersama Juventus dan kini telah menjaringkan lapan gol dalam Serie A -- hanya penyerang Genoa, Krzysztof Piatek, berada di atasnya dalam carta penjaring terbanyak liga.