Cristiano Ronaldo hanya mampu tertawa apabila Renato Gaucho menyifatkan dia adalah pemain yang lebih baik berbanding bintang Real Madrid itu.

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu meneruskan tahun ini dengan kejayaan terbaru selepas membantu pasukannya mencetak gol kemenangan Real ke atas Gremio untuk menjulang Piala Dunia Kelab 2017.

Sebelum perlawanan akhir bermula, Renato melancarkan serangan psikologi ke atas Ronaldo dengan menyifatkan dirinya adalah pemain yang lebih baik daripada Ronaldo ketika beraksi bersama Flamengo, Roma dan pasukan kebangsaan Brazil.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Ronaldo kelihatan bingung dengan kenyataan Renato dan menjawab tanpa menyindir bekas pemain Brazil itu.

"Saya tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada Renato Gaucho. Saya rasa tidak perlu menjawab mengenai perkara ini," katanya.

"Saya sangat gembira dan berjaya menjaringkan gol.

"Saya berasakan jawapan terbaik adalah ketawa. Jika dia menyifatkan dirinya lebih baik, saya tidak boleh berkata apa-apa," ujarnya.

Bagaimanapun, Ronaldo menjelaskan dia kagum dengan pencapaian yang diraih oleh Renato, yang menjulang Copa America bersama Brazil dan meraih gelaran Copa Libertadores yang sulung untuk Gremio pada 1983.

"Dia telah meraih kejayaan dalam kariernya sebagai pemain bola sepak. Saya amat mengagumi pencapaiannya."