JUVENTUS 3 ATLETICO MADRID 0
(Juventus mara dengan agregat 3-2)

Cristiano Ronaldo berkata hatrik hebatnya ke atas Atletico Madrid untuk menghantar Juventus ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL)} adalah sebab mengapa kelab itu membelinya.


Ronaldo telah memenangi empat kejuaraan UCL dalam tempoh lima musim terakhir bersama Real Madrid sebelum menyertai Juve dalam perjanjian bernilai €112 juta (RM516.2j), awal musim ini.

Bintang Portugis hanya meledak gol sekali sahaja di peringkat kumpulan UCL di samping dibuang padang ketika berdepan Valencia, namun memberikan persembahan bergaya untuk melengkapkan kebangkitan Juve di Turin, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Diego Simeone itu mendahului permainan dengan bekalan 2-0 menerusi gol daripada pertahanan, Jose Gimenez dan Diego Godin, tetapi mereka gagal menyekat sentuhan berbisa Ronaldo dalam aksi timbal balik itu.

Hantaran penyerang, Federico Bernardeschi, yang meluru dari sebelah sayap kiri menemui Ronaldo yang melonjak tinggi untuk mengatasi Juanfran untuk jaringan pembukaan, sebelum Ronaldo sekali mengulangi jaringan hampir sama untuk mengimbangi agregat.

Ketika Bernardeschi melakukan larian solo yang kemudian sengaja diganggu Angel Correa, Ronaldo melengkapkan hatrik kelapannya dalam UCL menerusi sepakan penalti.

"Inilah sebabnya mengapa Juve membawa saya, untuk menawarkan bantuan dalam malam-malam seperti ini," kata Ronaldo kepada Sky Sport Italia selepas menyingkirkan Atletico buat kali kelima.

"Atleti merupakan satu pasukan yang sangat sukar untuk dihadapi tetapi kami juga mantap dan membuktikan kami sepatutnya mara.

"Terlalu awal untuk membincangkan perlawanan akhir, mari kita mengambil langkah demi langkah pada satu-satu masa."

Di Stadium Allianz, hatrik Ronaldo itu memastikan Juve membatalkan defisit 0-2 buat kali pertama untuk mara dalam UCL.

"Ia harus menjadi malam yang istimewa," kata Ronaldo. "Bukan hanya kerana jaringan, malah keseluruhan pasukan dan sikap luar biasa mereka.

"Ini adalah mentaliti yang anda perlukan dalam UCL dan kami berada di landasan yang betul."