Cristiano Ronaldo mengakui pentingnya kemenangan Juventus ke atas Parma selepas pencabar gelaran Serie A, Inter, seri dengan Lecce.

Ronaldo menjaringkan kedua-dua gol ketika merakamkan kemenangan 2-1 di laman sendiri dan kini berkelebihan empat mata ke atas Inter selepas skuad kendalian Antonio Conte itu terikat 1-1.

Penyerang kebangsaan Portugal, Ronaldo, muncul inpirasi pasukan dengan prestasi menakjubkan, namun menilai kemenangan pasukan lebih penting berbanding prestasi individu.

"Perkara paling penting adalah kami menang," katanya. "Lazio menang, Inter seri, dan kami tidak boleh melepaskan peluang mencipta kemenangan.

"Ia adalah perlawanan yang sukar kerana Parma sebuah pasukan yang mampu menghadirkan masalah kepada Juventus.

"Saya sangat gembira kerana dapat membantu pasukan dengan dua jaringan saya tetapi perkara paling penting adalah tiga mata yang diraih.

"Mereka menghasilkan lebih banyak peluang dalam separuh masa kedua -- kami agak bimbang pada penghujung permainan tetapi berjaya memastikan kemenangan dalam perlawanan ini."

Juve bakal berkunjung ke Napoli dalam aksi Serie A seterusnya, namun perlu berdepan Roma terlebih dahulu dalam aksi suku akhir Piala Itali.



Editor: Ammar Hakim