Pertahanan Sepanyol, Gerard Pique, mengkritik aksi bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, sambil menyifatkan tonggak Real Madrid itu sebagai pemain yang sering menjatuhkan dirinya.

Ronaldo melepaskan sepakan percuma yang melencong pada minit ke-88 selepas dijatuhkan Pique sehingga memberikan jaringan penyamaan buat Portugal dan membolehkan Ronaldo mencipta hatrik pertama bagi saingan Piala Dunia kali ini.

Sebelum jaringan itu, dia menyumbat gol pembukaan hasil sepakan penalti dan menjadikan kedudukan 2-1 sebelum babak pertama tamat.

Bagaimanapun, Pique tidak gembira dengan cara Ronaldo sambil berpendapat pemain itu sering memberikan reaksi yang berlebihan.

"Kami meraih lebih banyak peluang. Mereka hanya memiliki tiga percubaan dan menjaringkan tiga gol," kata Pique.

"Perlawanan berlangsung dalam satu cara dan anda harus menghadapinya.

"Melihat diri anda dalam perlawanan pertama Piala Dunia, meraih sepakan penalti pada minit kedua, anda tentu meninggalkan padang dengan perasaan senang hati.

"Ronaldo mudah menjatuhkan dirinya," ujarnya lagi.

Walaupun La Roja meraih dua gol daripada Diego Costa dan satu jaringan hasil sumbangan Nacho Fernandez, namun kesilapan David De Gea menafikan peluang Sepanyol untuk mendapat tiga mata pertama.

Namun, Pique tetap mempertahankan rakan sepasukannya.

"Dia telah menjalankan tugas dengan baik dalam beberapa tahun ini dan kami semua menghadapinya bersama-sama.

"Dalam bilik persalinan, De Gea jelas merupakan penjaga gol utama kami dan dia telah membuktikannya bertahun-tahun."