Cristiano Ronaldo menyedari dia berada dalam kalangan bintang ketika membandingkan dirinya dengan barisan pemain ternama skuad Manchester United pada tahun 2003.

Masa depan penyerang Real Madrid dan Juventus itu di landasan tepat selepas berhijrah ke Old Trafford daripada Sporting CP.

Turun selaku pemain sayap, Ronaldo meledak empat gol hasil daripada 29 penampilan dalam musim pertama bersama The Red Devils.

Ryan Giggs, Paul Scholes dan Ruud van Nistelrooy merupakan antara pemain terbaik United ketika itu dan Ronaldo segera memahat kepercayaan bahawa dia turut ditakdirkan mencapai tahap tertinggi.

"Ketika saya bermain untuk Manchester United pada usia 18 tahun, saya dapat menyaingi beberapa barisan pemain terbaik United. Kemudian saya menyedari 'saya hampir untuk mencapai kejayaan tertinggi," kata Ronaldo kepada TVI.

"Semestinya, saya masih muda dan banyak perkara yang harus dipelajari -- dan banyak pengalaman yang diraih bersama United.

"United dibarisi pemain berpengalaman seperti Giggs, Rio Ferdinand, Roy Keane, dan Ole Gunnar Solskjaer. Tetapi saya berasakan jika saya berusaha, dengan bakat yang dimiliki, saya mampu menjadi pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL), sebagai contoh."Ronaldo beraksi bersama United selama enam musim, memenangi Ballon d'Or pertamanya sebelum berhijrah ke Santiago Bernabeu pada 2009 dengan yuran perpindahan EURO94 juta (RM435 juta).

Kapten skuad Portugal itu terus mempamerkan aksi cemerlang dan dilihat sebagai pemain paling berbisa di Eropah apabila berjaya merangkul empat lagi Ballon d'Or selepas itu.

Bintang Barcelona dan seterunya, Lionel Messi, adalah satu-satunya pemain selain Ronaldo yang merangkul lima gelaran Ballon d'Or.

"Saya mengetahui saya adalah salah seorang pemain terbaik dan kini berada dala sejarah bola sepak," ujarnya lagi.

"Ia bukan satu kebetulan hanya saya dan Messi memiliki lima Ballon d'Or. Saya masih lagi memiliki motivasi untuk terus memenangi anugerah individu dan kolektif serta selagi saya turun beraksi sebagai pemain bola sepak."

Ronaldo dan Juventus bakal memulakan musim baru dengan kunjungan ke Parma, Sabtu ini.