Cristiano Ronaldo terlepas satu peluang berharga pada lewat perlawanan ketika Juventus mencatat keputusan seri 2-2 dengan Atletico Madrid dalam pertemuan pertama Liga Juara-Juara (UCL) musim ini, namun Diego Simeone menyedari bintang Portugis itu mampu menjadi pemutus dalam mana-mana pertemuan.

Atletico bangkit daripada ketinggalan dalam pertemuan di Wanda Metropolitano itu awal pagi tadi untuk meledak dua gol ketika permainan bersisa 20 minit menerusi Stefan Savic dan Hector Herrera, yang menggunakan kesempatan situasi bola mati dengan baik.

Ia adalah satu langkah membalas dendam buat pasukannya selepas Juve menundukkan mereka walaupun tewas 0-2 dalam pertemuan pertama di ibu kota Sepanyol itu musim lalu.

Hatrik Ronaldo dalam perlawanan timbal balik itu memastikan Atletico tersingkir dan dia juga hampir membantu pasukannya meraih tiga mata dalam aksi Kumpulan D itu, namun percubaannya tersasar setelah menggelecek beberapa pertahanan.

Bekas penyerang Real Madrid tersebut telah menyumbat 25 gol ke atas Atletico sepanjang kariernya, maka tidak hairanlah mengapa Simeone lega rembatan pemain itu ke arah pintu gol yang dikawal Jan Oblak, meliar.

"Ia adalah satu perlawanan yang hebat," kata Simeone kepada Movistar mengenai bintang Juve itu.

"Kami sedar mengenai kemampuannya. Dia boleh penentu pada bila-bila masa sahaja."

Situasi bola pegun menawarkan Atletico laluan untuk bangkit selepas kelab Serie A itu mendahului menerusi sentuhan Juan Cuadrado dan Blaise Matuidi.

Savic kemudian menanduk masuk sepakan percuma untuk Atletico merapatkan jurang sementara sepakan penjuru Kieran Trippier pada minit ke-90 ditanduk kencang pemain gantian, Herrera.

"Hector berusaha dengan sangat baik dan ia bukanlah satu kebetulan apabila dia masuk lalu menjaringkan gol," kata Simeone.

"Dalam kehidupan ini, kerja keras sering membawa kepada ganjaran, lebih-lebih lagi dalam bola sepak. Persaingan ini sangat baik dan ia akan membuatkan kami untuk terus berkembang.

"Ini adalah satu perlawanan UCL yang hebat, menentang lawan yang sangat handal, sangat sukar yang memiliki kualiti individu dan secara keseluruhannya memang hebat.

"Kami bermula dengan baik walaupun tidak berpeluang untuk menjaringkan gol. Bagaimanapun, dalam babak kedua, mereka menghukum kami sebanyak dua kali.

"Cuadrado dan Matuidi mengambil kesempatan ke atas kami tetapi kami tidak berputus asa.

"Dalam babak pertama, kami menguasai bola dengan baik walaupun kami tidak mempunyai peluang untuk meledak gol yang merupakan perkara yang paling penting.

"Saya sukakan cabaran ini kerana kami tidak hilang maruah kerana kami bangkit daripada ketinggalan 0-2.

"Apabila pemain muda semakin berkembang, kami akan lebih dekat dengan kemenangan."