Ronaldo bantu pertingkat permainan saya -- Rabiot

Oleh Staff Writer 23 Ogos 2019 779
Ronaldo bantu pertingkat permainan saya -- Rabiot
Adrien Rabiot berkata Cristiano Ronaldo membantu meningkatkan permainannya bersama juara Serie A itu di samping memuji impak bintang kelahiran Portugal tersebut.

Rabiot membuat persiapan menghadapi penampilan sulung esok bersama Juventus berdepan Parma selepas berhijrah daripada juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma.

Sudah menyesuaikan diri di Turin, pemain tengah skuad kebangsaan Perancis itu memuji rakan sepasukan di Juve dan pemenang Ballon d'Or lima kali, Ronaldo.

"Saya telah banyak beraksi musim panas ini kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan pasukan," kata Rabiot kepada Sky Sport 24.

"Saya mendapatkan rentak selepas bekerjasama dengan Ronaldo kerana dia turut beraksi di bahagian kiri. Berlatih bersama Ronaldo meningkatkan mutu permainan saya dan kehadirannya melonjakkan mutu pasukan.
"Turin berbeza berbanding Paris. Ia lebih kecil tetapi ia merupakan bandar yang cantik. Saya mula menyesuaikan diri dengan cara permainan di sini dan cuba melakukan yang terbaik di atas padang.

"Secara peribadi, saya tidak sabar untuk memulakan musim ini. Parma merupakan pasukan yang berkualiti dan Juve adalah pasukan yang mahu ditewaskan oleh semua. Kami akan cuba memulakan kempen dengan cemerlang.

Ketua jurulatih baru, Maurizio Sarri, tidak akan bersama pasukan untuk dua aksi pertama saingan Serie A kerana masih lagi berusaha untuk pulih daripada radang paru-paru.

Sarri, yang tiba dari Chelsea, akan terlepas aksi berdepan Parma esok dan Napoli, 31 Ogos ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen