Cristiano Ronaldo boleh beraksi di mana-mana posisi buat Juventus, namun Maurizio Sarri merancang untuk mengembalikan penyerang terbilang itu ke posisi asalnya dalam musim baru ini.

Legenda Portugal itu kerap bertukar-tukar posisi di bahagian serangan dalam musim pertamanya bersama Juve di mana dia diletakkan di bahagian sayap dan juga bahagian tengah ketika bergandingan dengan Paulo Dybala.

Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun itu akan diberikan peranan tetap dalam sistem pengendali baru itu, yang terkenal dengan kepercayaannya terhadap sistem 4-3-3.

Buat Ronaldo, ia bermakna dia akan beraksi dalam posisi yang sedikit terbuka seperti mana peranannya dalam skuad Manchester United dan Real Madrid sebelum berpindah ke Itali.

"Saya akan mula menggunakan Ronaldo di bahagian serangan sebelah kiri.

"Namun, dengan kualiti yang dimilikinya, dia boleh beraksi di mana-mana sahaja.

"Dia amat berpengalaman dan telah memenangi segala-galanya, secara individu mahupun secara berkumpulan," katanya.

Sarri berpeluang melakukan eksperimen pertamanya ketika menentang Tottenham Hotspur dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Singapura.

Pengendali berbangsa Itali itu mengesahkan Matthijs de Ligt akan memainkan peranan dalam perlawanan itu bagi menyesuaikan pertahanan kebangsaan Belanda itu dengan suasana pasukannya.

De Ligt, 19, menyertai Juve daripada Ajax dengan perjanjian bernilai €85.5 juta (RM394.7 juta) walaupun dilaporkan turut menarik minat Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United.

Pemain pertahanan itu menafikan dia ke Turin kerana didorong oleh tawaran gaji yang besar sambil berkata dia sudah mula muak dengan pihak media yang melaporkan sebaliknya.

"Pada satu tahap, saya sudah penat mendengarnya," katanya kepada akhbar Belanda.

"Perkara paling tidak masuk akal apabila saya terbaca laporan yang mendakwa saya tidak ke PSG kerana mahukan gaji yang lebih tinggi daripada Kylian Mbappe. Ia amat mengarut.

"Mino (Raiola) adalah ejen saya, dia yang membincangkan tentang urusan perniagaan, namun ia hanya berlaku selepas saya menetapkan keputusan saya," katanya.