Kapten AC Milan, Alessio Romagnoli, berada di tahap keyakinan yang tinggi untuk meraih kemenangan dalam pertemuan Serie A dengan musuh setempat, Inter Milan, pada awal pagi Ahad ini serta mahu membuatkan pengendali, Gennaro Gattuso, berbangga.

Romagnoli yang merupakan pemain skuad kebangsaan Itali tampil dalam kesebelasan utama untuk enam daripada tujuh aksi liga musim ini sejak mengambil-alih lilitan kapten daripada Leonardo Bonucci yang kembali ke Juventus.

Walaupun masih belum meraih sebarang perlawanan tanpa dibolosi, skuad Rossoneri menemui rentak kemenangan selepas terikat seri dalam tiga aksi berturut-turut sehingga membuatkan masa depan Gattuso menjadi tanda tanya.

Romagnoli menjadi punca kepada kesilapan ketika berdepan Empoli tetapi pemain berusia 23 tahun itu kini bertekad untuk membalas kepercayaan pengurusnya itu.

"Kami rapat dengan Gattuso," katanya.

"Musim lalu, dia memberikan kami banyak perkara sejak tiba di sini. Jadi, kami akan melakukan apa sahaja untuk membuatkannya berbangga.

"Pengurus kami tahu kekuatan pasukan dan sentiasa cuba mendapatkan persembahan terbaik daripada pemain," katanya.

Kedua-dua kelab Milan itu dibezakan dengan empat mata menjelang pertemuan di San Siro walaupun Inter sudah melalui lebih satu perlawanan.

Kedua-dua pasukan menyasarkan untuk mengakhiri saingan di kedudukan empat terbaik liga dan Romagnoli sedar kepentingan untuk mendapatkan tiga mata.

"Perlawanan sebegini adalah aksi yang memerlukan persembahan yang bagus," tambah Romagnoli.

"Pertemuan setempat adalah sesuatu yang menarik berdasarkan tradisi, stadium, peminat serta aspek lain.

"Kami sedar perlawanan ini mampu memberikan suntikan semangat dan selain daripada musuh setempat, Inter juga adalah pencabar kami untuk slot ke Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami harus membiasakan diri untuk kekal di kelompok atasan liga," tambahnya.