Roma melantik Gianluca Petrachi sebagai pengarah sukan yang baru setelah mencapai persetujuan dengan seteru Serie A, Torino.

Petrachi menandatangani perjanjian selama tiga tahun untuk menggantikan Frederic Massara, yang menggalas peranan itu selepas Monchi meninggalkan pasukan berkenaan, Mac lalu.

Pengarah sukan berusia 50 tahun itu akan memulakan peranan barunya di Roma secara rasmi bermula Isnin depan dan menyedari sepenuhnya cabaran dalam tugas itu.

"Datang ke Roma merupakan peluang yang menarik dan ia merangsang saya," kata Petrachi dalam laman sesawang rasmi kelab barunya itu.

"Roma merupakan sebuah kelab yang hebat dan langkah ini sangat menggembirakan bagi saya. Saya tahu apa yang dijangkakan kelab penting seperti ini, sebab itulah saya menerima cabaran ini dengan segera."

Pelantikan Petrachi itu hadir selepas dua minggu Paulo Fonseca diumumkan sebagai pengurus baru.

"Saya gembira dapat mengalu-alukan Gianluca dalam pasukan kami," kata Ketua Eksekutif, Guido Fienga.

"Dengan kemampuannya, saya pasti dia akan menjadi aset penting dalam penstrukturan pengurusan kelab."

Roma menduduki tempat keenam Serie A musim lalu, tiga mata di belakang pasukan di tangga keempat, Inter.