Pengendali Bayern Munich, Niko Kovac, mengesahkan Franck Ribery belum pasti diturunkan dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool awal pagi esok selepas pemain sayap itu menyambut kelahiran anak perempuannya.

The Reds akan melayan kunjungan Bayern di Anfield tatkala kedua-dua pasukan memulakan saingan kalah mati sambil anak buah Kovac itu menyimpan hasrat untuk membawa pulang bekalan selesa menjelang aksi kedua 13 Mac depan.

Namun, Bayern yang melalui prestasi tidak menentu musim ini dilihat berdepan masalah ketiadaan pemain akibat beberapa isu.

Corentin Tolisso, Arjen Robben dan Renato Sanches dilanda kecederaan, Thomas Muller digantung, Kingsley Coman masih di tahap meragukan susulan masalah di bahagian buku lali manakala Jerome Boateng mungkin tidak diturunkan akibat virus di perut.

Kini, satu lagi isu hadir tatkala Ribery belum pasti cergas untuk beraksi selepas melalui malam yang panjang kerana menemani isterinya melahirkan bayi perempuan dan Kovac berkata keputusan akan dibuat hari ini.

"Sebagai jurulatih, anda mampu merancang tetapi apabila ada pemain yang menjadi bapa, sakit dan sebagainya, anda perlu mencari idea lain," kata Kovac.

"Ia disebabkan Ribery tidak tidur semalaman, jadi kami perlu lihat. Saya akan bercakap dengannya untuk melihat keadaannya dan saya tidak tahu apa keputusan apabila ia dilakukan hari ini.

"Mengenai Boateng, kami perlu tunggu dan lihat apa yang akan dikatakan oleh doktor di Munich. Jika boleh beraksi, dia akan menjadi salah satu pilihan kami."

Masalah kecederaan yang melanda Bayern dilihat hadir di saat getir dan Kovac mengakui undian menentang Liverpool merupakan aksi paling sukar di peringkat ini.

"Saya mahu katakan sekali lagi, ia adalah undian paling sukar buat kami," tambahnya.

"Jika anda melihat apa yang dilakukan Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara musim lalu dan pencapaian dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, anda perlu mengakui ia adalah undian paling sukar.

"Suasana di stadium pasti hebat dan semua orang tahu tentangnya. Namun, saya pasti pemain saya telah melalui perlawanan besar sebelum ini, jadi kami tiada masalah untuk bersaing.

"Dalam Bundesliga, kami berdepan dua pasukan yang mempunyai corak sama seperti Liverpool, iaitu Borussia Dortmund dan Bayer Leverkusen, tetapi The Reds memberi tekanan lebih tinggi.

"Jika Liverpool memberi 140 peratus, kami akan menghadirkan 150 peratus. Semestinya tidak cukup dengan 100 peratus tetapi saya yakin kami akan memberikan segala-galanya."