JERMAN 8 ESTONIA 0

Marco Reus dan Serge Gnabry menjaringkan dua gol ketika Jerman membelasah Estonia 8-0 dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Mainz, awal pagi tadi.


Kemenangan itu menyaksikan mereka mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam saingan Kumpulan C.

Ketua jurulatih, Joachim Low, tidak menyertai perlawanan itu -- turut terlepas aksi ketika menewaskan Belarus gara-gara kecederaan yang dialami susulan "kemalangan sukan" yang menimpanya bulan lalu -- namun Estonia beraksi dengan amat buruk sehingga membenarkan kemenangan besar Jerman yang diterajui kegemilangan Reus dan Gnabry.

Bintang Borussia Dortmund, Reus, membuka jaringan awal sebelum menjaringkan gol kelima Jerman yang turut disulami gol daripada Gnabry, Leon Goretzka dan Ilkay Gundogan.

Selepas menjaringkan lima gol dalam babak pertama buat kali pertama sejak melakukannya ke atas Brazil menerusi kemenangan 7-1 dalam Piala Dunia 2014, Jerman seakan-akan mengendurkan asakan walaupun Gnabry memperoleh jaringan kedua sambil Timo Warner dan Leroy Sane melengkapkan keputusan perlawanan.

Dengan kemenangan itu, Jerman mengekalkan jurang tiga mata dengan pendahulu Kumpulan C, Ireland Utara, yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.

Die Mannschaft bermula baik untuk merobek gawang Estonia pada minit ke-19 dengan Thilo Kehrer melakukan hantaran lintang rendah dari sebelah kanan yang disudahkan Reus.

Gnabry kemudian melebarkan jaringan itu selepas mudah melakukan penyudah jarak dekat susulan hantaran Sane.

Goretzka turut mendaftarkan nama selaku penjaring pada minit ke-20 dengan menanduk masuk hantaran Joshua Kimmich.

Joonas Tamm menjatuhkan Goretzka dalam situasi tanpa bola di kawasan penalti dan Gundogan tidak mensia-siakan peluang itu.

Reus menjadikan kedudukan 5-0 sebelum waktu rehat menerusi sepakan percuma gemilang dari jarak 30 ela yang menemui bucu kanan atas gawang lawan.

Jerman kembali menemui jaringan selepas sejam perlawanan apabila Gnabry bertindak bijak untuk menolak masuk hantaran rendah Marcel Halstenburg.

Werner -- yang dimasukkan sebagai pengganti Reus pada minit ke-66 -- menghasilkan jaringan cantik menerusi satu lambungan bijak sebelum Sane melengkapkan kemenangan besar itu dengan sepakan lencong selepas melepasi perangkap ofsaid.